Jumaat, Disember 16, 2011

Himpunan Fatwa Syeikh 'Athiyyah Shaqr Mengenai Solat

Soalan: Adakah boleh seseorang itu solat nawafil(sunat) di rumah kemudian menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu berjamaah?

Jawapan Syeikh 'Athiyyah Shaqr:
Ya, harus ia melakukan yang demikian itu. Sesungguhnya telah datang galakan dari Rasulullah SAW dalam masalah menunaikan solat sunat di rumah kerana menunaikan solat sunat di rumah adalah cahaya yang akan menerangi rumah kita dan tidak sepatutnya kita tidak menyirami rumah kita dengan cahaya solat.

Berkata Imam An Nawawi:
"Sesungguhnya telah digalakkan dalam menunaikan solat sunat di rumah adalah kerana ia lebih tersembunyi (dari pandangan manusia) dan lebih jauh dari riya' dan lebih terjaga daripada perkara-perkara yang merosakkan amalan serta untuk memberkati rumah (dengan amalan solat sunat tadi), dan menjadi sebab kepada tercurahnya rahmat dan dinaungi malaikat serta menjauhkan syaitan dari rumah itu".

Imam Muslim meriwayatkan bahawa:
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:"Jika seseorang kamu menunaikan solat di masjidnya maka hendaklah dia memastikan ada bahagian solat yang dijadikan di rumahnya (solat sunat) kerana bahawa sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kebaikan untuknya dari solat yang dilakukan di rumahnya itu".