Jumaat, Disember 16, 2011

Himpunan Fatwa Syeikh 'Athiyyah Shaqr Mengenai Solat

Soalan: Adakah boleh seseorang itu solat nawafil(sunat) di rumah kemudian menuju ke masjid untuk menunaikan solat fardhu berjamaah?

Jawapan Syeikh 'Athiyyah Shaqr:
Ya, harus ia melakukan yang demikian itu. Sesungguhnya telah datang galakan dari Rasulullah SAW dalam masalah menunaikan solat sunat di rumah kerana menunaikan solat sunat di rumah adalah cahaya yang akan menerangi rumah kita dan tidak sepatutnya kita tidak menyirami rumah kita dengan cahaya solat.

Berkata Imam An Nawawi:
"Sesungguhnya telah digalakkan dalam menunaikan solat sunat di rumah adalah kerana ia lebih tersembunyi (dari pandangan manusia) dan lebih jauh dari riya' dan lebih terjaga daripada perkara-perkara yang merosakkan amalan serta untuk memberkati rumah (dengan amalan solat sunat tadi), dan menjadi sebab kepada tercurahnya rahmat dan dinaungi malaikat serta menjauhkan syaitan dari rumah itu".

Imam Muslim meriwayatkan bahawa:
Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:"Jika seseorang kamu menunaikan solat di masjidnya maka hendaklah dia memastikan ada bahagian solat yang dijadikan di rumahnya (solat sunat) kerana bahawa sesungguhnya Allah SWT mengurniakan kebaikan untuknya dari solat yang dilakukan di rumahnya itu".

Khamis, November 10, 2011

Makanan dimasuki Semut

Persoalan:
Sekiranya makanan atau minuman dimasuki semut adakah perlu dibuang?

Jawapan:
Semut yang masuk ke dalam makanan atau minuman itu perlu dibuang, dan makanan/minuman itu boleh dimakan atau diminum kerana yang dilarang adalah makan semut atau serangga yang dianggap keji.Tidak dilarang makan makanan itu selepas semut itu dibuang.


Persoalan:
Apakah hukum bagi lelaki berinai di jari ketika kahwin/bertunang?


Jawapan:
Haram hukumnya bagi kaum lelaki yang berinai.
Inai adalah sebahagian daripada perhiasan yang tertentu untuk kaum wanita. Oleh kerana itu, lelaki dilarang memakainya kerana terdapat hadis sahih yang melaknat kaum lelaki yang memakai perhiasan kaum wanita.

Rujukan: Soal jawab bersama Ustaz Azhar Idrus

Isnin, Oktober 10, 2011

Keistimewaan Rasulullah SAW

Pembedahan Dada Rasulullah SAW

Iman Besar Jami'al Azhar Syeikh Soleh ibn Muhammad al Ja'fari berkata:
Antara keistimewaan Rasulullah SAW yang tidak pernah dinugerahkan kepada nabi-nabi yang lain adalah dibelah dadanya sebanyak 4 kali.

Pertama kali Rasulullah SAW dibelah dadanya di kampung Bani Sa'ad ketika dibawah jagaan Halimah al Sa'diah, kerana Rasulullah SAW akan menghadapi zaman kanak-kanaknya. Lalu Allah menyucikan hatinya yang mulia supaya Baginda SAW akan menjadi seorang yang terpelihara daripada godaan syaitan yang menyesatkan.

Kemudian dadanya dibelah untuk kali ke dua ketika Rasulullah SAW hampir baligh kerana Rasulullah akan menghadapi zaman remajanya. Maka dipenuhi hatinya dengan kesempurnaan, thabat(keteguhan hati),kebesaran dan cahaya yang menyinarinya.
Pada zaman jahiliah, Rasulullah SAW dikurniakan cahaya yang diilhamkan oleh Allah kepadanya.Natijah daripada itu Baginda SAW sentiasa melakukan perkara-perkara yang menepati Syariat Muhammadiah, sekalipun Baginda SAW belum menerima wahyu.Baginda SAW juga gemar kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan serta sering bermunajat kepada TuhanNya di Gua Hira' dalam keadaan bermusyahadah kepada TuhanNya dan sering berdoa.

Seterusnya Allah SWT membelah dadanya untuk kali ke tiga selepas genap usianya 40 tahun.Tujuannya, untuk menyediakan diri Baginda SAW yang merupakan pilihan Allah SWT untuk menerima wahyu.Bahkan juga untuk Baginda SAW tetap teguh dan mampu untuk menanggung beban al Quran yang terlalu berat; yang sekiranya diturunkan di atas gunung-ganang,nescaya akan hancur luluh gunung-ganang lantaran kehebatab al Quran.

Kemudian Allah SWT membelahdadanya untuk kali ke empat pada malam Isra' dan Mi'raj. Allah SWT memenuhi hatinya dengan ilmu-ilmu, hikmah-hikmah, keimanan dan keyakinan agar Rasulullah SAW bersedia untuk melihat tuhanNya

Khamis, Oktober 06, 2011

Wanita yang pernah menjadi isteri Nabi Muhammad SAW

1. Khadijah binti Khuwailid
2. Saudah binti Zam'ah
3. A'isyah binti Abu Bakar
4. Hafsah binti Umar
5. Zainab binti Khuzaimah
6. Ummu Salamah
7. Ummu Habibah
8. Juwairiyah binti Harith
9. Maimunah binti Harith
10. Sofiyah binti Huyai
11. Zainab binti Jahsy

Mandi Junub atau Mandi Wajib

Persoalan:
Apakah perbezaan antara mandi junub dengan mandi wajib?

Jawapan:
Mandi junub adalah sama dengan mandi wajib.

Mandi junub disebut kerana mandi itu dilakukan selepas seseorang itu berjunub sama ada disebabkan keluar mani ataupun berjimak (bersetubuh).

Ia juga disebut sebagai mandi wajib kerana mandi itu wajib dibuat.

Mandi wajib lebih umum berbanding mandi junub kerana mandi junub adalah sebab keluar mani atau jimak sahaja. Manakala mandi wajib ada kalanya sebab keluar mani, jimak, berhenti darah haid atau nifas ataupun kerana melahirkan anak.

Rujukan: Ustaz Azhar Idrus

Penggunaan Botol Arak

Persoalan :
Adakah boleh menggunakan botol arak bagi mengisi air minuman seperti air mineral untuk diminum?

Jawapan :
Harus menggunakan botol arak bagi mengisi air atau bahan lain dengan syarat botol itu dibasuh terlebih dahulu sehingga bersih. Manakala label arak yang terdapat pada botol itu perlu dibuang atau ditutup supaya perkara yang diharamkan oleh agama tidak tersebar.



Rujukan : Ustaz Azhar Idrus

Selasa, Mei 31, 2011

Hukum Perempuan Memakai Seluar Panjang

1~ Menurut Syeikh 'Atiyyah Shaqr'(Mantan Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif):Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib cela seluar panjang yang dipakai mereka sekarang ini, cuma bagi perempuan pula ia menonjol dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang menarik perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi ia meletakkan pula di luarnya kain lain yang menutupi anggota-anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping menghalang bentuk rupanya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa. (Mausuah Al_Usrah M.S.99)

2~ Menurut Syeikh Ismail Usman Zain al-Yamani al-Makki (Ulama Besar Mazhab al-Syafii di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah), perempuan yang memakai seluar panjang di atasnya (diluarnya) ada pakaian (baju atau jubah)yang labuh sampai paras lutut lalu seluarnya hanya dilihat oleh orang lain hanya dari paras lutut hingga ke kaki sahaja maka hukumnya tidak haram dengan syarat seluar itu tidak jarang atau ketat sehingga menampakkan kecantikan tubuhnya kerana ia termasuk dalam hadis perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang.Alasannya kerana seluar bukan pakaian yang khusus bagi lelaki. Cuma yang haram bagi perempuan adalah membuka auratnya atau sebahagian auratnya di hadapan lelaki ajnabi.

3~ Menurut Profesor Dr. Wahbah al-Zuhaili(pengarang kitab al-Fiqhul Islami Wa Adillatuh) dalam bukunya Fatawa Mua'sirah M.S 191 ketika ditanya tentang hukum gadis atau perempuan memakai seluar panjang. Ia menjawab hukumnya haram kerana ia sempit(ketat) yang boleh menampakkan bentuk badan, yang boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga kerana ianya menyerupai lelaki. Akan tetapi jika ia memakai pakaian-pakaian luarnya (baju atau jubah) dengan syarat pakaian luar itu longgar serta menutupi seluar serta labuh sehingga bawah paras lutut maka hukumnya harus.

Rujukan: Syarat-syarat pakaian muslimah, Oleh Ust.Hj Aminuddin bin Hj Abd. Rahim.
Rumusan:
Daripada penjelasan para ulama di atas, perempuan yang memakai seluar ketat sedangkan bajunya singkat maka hukumnya haram kerana menampakkan punggungnya. Oleh itu labuhkan baju atau jubah hingga ke bawah paras lutut bila memakai seluar.

Selasa, Mei 24, 2011

Pakaian Muslimah Ketika Keluar Rumah

Syarat-Syarat Bagi Perempuan Muslimah Ketika Hendak Keluar Rumah

Syarat Pertama
~ Pakaian itu mestilah menutup aurat.
Aurat perempuan menurut kebanyakan ulamak adalah seluruh
badan kecuali muka dan kedua tangan (sehingga pergelangan tangan).

Syarat Kedua
~ Pakaian itu tebal yakni tidak jarang sehingga boleh
menampakkan warna kulit.
Pakaian itu tidak terlalu nipis atau jarang sehingga
menampakkan warna kulit atau rambut.

Syarat Ketiga
~ Pakaian itu mertilah longgar, lapang atau luas
yakni tidak terlalu ketat.
Pakaian ketat boleh menonjolkan potongan badan atau
susuk tubuh seseorang.

Syarat Keempat
~ Pakaian itu tidak dikenakan wangi-wangian.
Wangi-wangian boleh menarik perhatian dan menimbulkan
fitnah atau godaan terhadap lelaki.

Syarat Kelima
~ Pakaian itu bukanlah pakaian untuk kemasyhuran dan
menarik perhatian(menjolok mata) serta untuk sombong
dan takabbur.
Contohnya, pakaian yang disulam dengan sulaman yang
amat menarik kerana ia boleh membawa fitnah.

Syarat Keenam
~ Jangan sesuatu yang digunakan untuk menutup aurat itu
sendiri merupakan perhiasan.
Contohnya, mahkota yang diletakkan di atas kepala.
Begitu juga dengan rambut palsu, kerana kedua-dua
pakaian tersebut menarik perhatian lelaki.
~ Nabi SAW melarang perempuan mengenakan perhiasan
kecuali untuk suami, di samping memberi amaran kepada
perempuan muslimah agar tidak meniru perempuan Yahudi
yang berhias untuk menarik perhatian lelaki.

Syarat Ketujuh
~ Pakaian tidak menyerupai pakaian perempuan kafir.
"Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum maka ia
termasuk dalam golongan mereka". Hadis riwayat Abu Daud
dan Ahmad daripada Ibnu Umar.

Syarat Kelapan
~ Janganlah pakaian yang dipakai oleh seseorang perempuan
itu menyerupai pakaian yang khusus bagi lelaki.

Rujukan: Syarat-syarat pakaian muslimah ketika keluar rumah.
oleh Ustaz Hj Aminuddin bin Hj Abd Rahim.

Persiapan Menghadapi Kematian

Kuliah Ustaz Ahmad Dasuki: 22/05/11
Masjid MATIN, Abi Padang Machang.

Kematian bererti " Saat dimana kita dihadapkan di hadapan Allah SWT".

Bagaimana persiapan untuk menghadapi kematian???????

1. Hendaklah kita banyakkan bertaubat...kata para ulamak.
~ Sesungguhnya kita sebagai hamba yang lemah tidap akan
terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu hendaklah kita
sentiasa bertaubat. Kita hendaklah menjaga dosa kita dengan Allah dan dosa kita dengan manusia.

2. Pastikan keluarga kita tidak melanggar syariat Allah SWT.
~ Kita perlu persiapkan seluruh ahli keluarga kita untuk
menghadapi kematian selain persiapan untuk diri kita sendiri.
"Jaga diri dan ahli keluarga
kamu daripada dihumban ke neraka Allah"


3. Perbanyakkan zikir.
~ Zikir menjadi satu kekuatan kepada kita.

4. Perbaiki amalan kita.
~ Sebolehnya kita berusaha untuk perbaiki amalan kita,
supaya makin hari makin berkualiti. Kita perlu berusaha
perbaiki solat kita, agar makin berkualiti. Di samping itu
cari dan tuntutlah ilmu kerana dengan ilmu kita tidak akan
sesat dan amalan kita akan menjadi bertambah baik.

Rabu, Mei 18, 2011

Petua Untuk Berjaya

Kuliah Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz
17/5/11 - Masjid MATIN,Abi Padang Machang

Rasulullah bersabda, jika kamu hendak berjaya hendaklah kamu:

1~ menjaga lidah yakni
- jangan bercakap perkara-perkara yang kita tidak
pasti/tahu/bercakap menipu.
- sentiasa mengucapkan syukur/alhamdulillah.
- jangan bercakap perkara yang boleh mendatangkan dosa
seperti mengumpat/mengata (bukan semua perkara
yang kita tahu,perlu kita bagitahu kepada orang lain)

2~ luaskan rumah kamu
Maksudnya,rumah itu adalah hati kita. Di mana hati
kita mempunyai banyak ruang(besar hati).
Isikan ruang-ruang hati kita itu dengan perkara yang positif yakni
sentiasa bersabar, tenang, redha, kuat berusaha,berbaik sangka,
tidak mudah merajuk, berfikir untuk maju dan lain-lain yang baik.

3~ hendaklah kamu menanggis dengan dosa-dosa kamu.

Pesanan Rasulullah SAW

Kuliah Subuh ustaz Fattah Yassin
15/5/2011 - Surau Taman Jali

Baginda Rasulullah SAW berpesan, 9 sifat yang perlu ada pada seseorang hamba Allah SWT iaitu,
Kita hendaklah sentiasa
~ ikhlas dalam melakukan ibadat.
~ redha dalam keadaan marah maupun susah.
~ bersederhana.
~ memaafkan orang yang menganiayai kita selagi tidak
memudaratkan kita.
~ menyambung silaturahim yang mana orang putuskan.
~ berfikir tentang kebesaran Allah SWT, dosa, pahala.
~ memberi yakni bersedekah.
~ berzikir yakni percakapan adalah zikir/bercakap perkara
yang baik-baik.
~ menjaga penglihatan sambil mengambil ikhtibar
tentang kebesaran Allah.

Baginda Rasulullah juga berpesan,
3 perkara yang mula hilang pada akhir zaman:
1~ Rasa yakin pada janji Allah.
2~ Rasa Khusuk dalam beribadat.
3~ Ilmu faraid.

Rabu, Mei 04, 2011

Bersyukur

Kuliah Ustaz 'Budak Besar' - 20.04.11

Tafsiran Bersyukur
"membalas nikmat Allah SWT dengan melaksanakan segala arahan/suruhan Allah SWT"

Firman Allah:
"sekiranya kamu bersyukur maka aku(Allah) akan tambahkan nikmat kamu. Maka sekiranya kamu kufur maka aku laknat kamu".

Oleh itu untuk kita bersyukur maka kita perlu ikhlas terhadap perlakuan kita melaksanakan suruhan Allah SWT.

Hakikat bersyukur berdiri atas 5 sifat:
1. Merendahkan diri di hadapan Allah SWT atas nikmat yang Allah berikan kepada kita iaitu melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi segala larangan Allah.
2. Rasa cinta kepada yang pemberi nikmat yakni Allah SWT.
3. Mengakui bahawa segala nikmat itu daripada Allah.
Yakni kita tidak kedekut untuk bersedekah kerana nikmat
yang kita peroleh itu adalah pemberian Allah.
4. Sentiasa memuji(alhamdulillah) atas nikmat yang Allah berikan.
5. Tidak menggunakan nikmat yang Allah berikan untuk melawan Allah SWT.

Natijahnya, tujuan hidup kita adalah untuk:
~ bersyukur kepada Allah SWT.

Dan ingatlah:
~ Apabila kita beribadat untuk syurga Allah umpama kita
berniaga dengan Allah SWT.
~ Apabila kita beribadah kerana takutkan Allah SWT, itu tandanya diri sebagai hamba
yang bersyukur dan itulah ibadah orang-orang yang merdeka.

Menyempurnakan Saf Dalam Solat

Siri Kuliah Ustaz Yusaini b.Yahya - 13.04.11

Sabda Rasulullah..
" Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang paling hadapan dan sebaik-baik saf bagi perempuan adalah yang paling belakang".
" Saf di sebelah kanan adalah lebih fadilatnya".

Aisyah r.a meriwayatkan...
"Sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat dan beristirfar(memohon keampunan) ke atas orang yang duduk di saf kanan".

Kelebihan saf paling hadapan:
~Riwayat Ibnu Majah, saf yang pertama memiliki 3 kebaikan/kelebihan,
antara: bagi mereka yang berada di saf paling hadapan akan mendapat tazkiah yakni keampunan atau kesucian daripada Allah SWT.
~Riwayat Abu Muslim, orang yang berada di saf paling belakang maka akan di belakangkan oleh Allah SWT. Para ulamak berpendapat itulah kerugian yang paling besar.

Cara Menyempurnakan Saf:
1 Merapatkan bahu dengan bahu jemaah bersebelahan.
2 Merapatkan lutut dengan lutut.
3 Merapatkan buku lali dengan buku lali yakni menyamakan tumit-tumit.

Kesimpulannya, keutamaan menyempurnakan saf dan kelebihan saf yang paling hadapan memberi pengajaran kepada kita bahawa apabila dilaungkan azan, maka bersegeralah kita menuju ke tempat dimana dilaungkan azan untuk solat berjemaah dan sempurnakan saf untuk mendapat kebaikan yang dijanjikan Allah SWT.

Selasa, Mac 15, 2011

Cara Rasulullah Bercincin

Siri Kuliah ust. Yusaini Yahya : 28.4.10

~ Cincin Rasulullah diperbuat daripada perak dan batu hitam
dari Habsah.
~ Rasulullah melarang memakai cincin yang diperbuat daripada
besi dan tembaga.
~ Rasulullah apabila bercincin:
- jari keliking kanan (yang lebih afdal)
- kemudian keliking kiri
- kemudian jari manis kanan
- kemudian jari manis kiri
~ disunatkan membalikkan batu(permata) ke bahagian bawah jari
demi menjaga hati orang-orang miskin/yang tidak mampu.
*walaupun begitu tidak salah memakai cincin batunya diatas
tetapi jaga niat kita.
~ Ikut sunnah: menanggalkan cincin apabila hendak masuk tandas.

10 Cara Iblis memasuki Pintu Hati Manusia

Iman Al-Ghazali telah menggariskan 10 cara iblis memasuki pintu hati manusia untuk merosakkan kita sebagai hamba Allah yang dirahmati...

melalui pintu:
~ marah dan syahwat
~ kekenyangan
~ tamak
~ gopoh dan tidak teliti
~ kesukaan kepada segala bentuk harta dan wang
~ kedekut/bakhil
~ suka kepada perhiasan diri dan rumah yang berlebih-lebih
~ taksub kepada mazhab/ideologi/kumpulan
~ buruk sangka kepada orang Islam yang lain

Isnin, Mac 14, 2011

Petua

Petua Membuat Suami Sayangkan Anda

by ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA

Baca Surah Yusuf Ayat 4 - Bermaksud:"Ingatlah ketika Yusuf berkata kepada ayahnya," Wahai Ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas buah bintang, matahari dan bulan kelihatan semuanya sujud kepadaku..."

Kemudian sambung Surah Thaahaa Ayat 39 - Bermaksud:"Dan aku telah melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang dariku, dan supaya kamu di asuh di bawah pengawasanku."(Qs.thaahaa:39)

CARANYA: Setiap kali bertemu atau bersua dengan kekasih/suami, bacalah kedua-dua ayat tersebut. Untuk mendapatkan kesan yang baik, hendaklah selalu membaca di hadapannya. Tidak perlu membaca dengan kuat, memadailah dengan hanya membaca di dalam hati.

Rabu, Mac 09, 2011

4 Perkara Mendapat Kebaikan Dunia & Akhirat

Siri Kuliah Sheikh Ahmad Fisol(Qadhi Kubang Pasu) : 23/10/10

4 perkara apabila anda memilikinya, anda akan mendapat kebaikan dunia & akhirat.

1. Hati yang sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT.
~ bersyukur dengan hati, yakin bahawa segala nikmat itu
datangnya daripada Allah.
~ bersyukur dengan lidah, yakni mengucap Alhamdulillah.
~ bersyukur dengan tubuh badan, yakni menbelanjakan rezeki
yang Allah berikan untuk keperluan diri, keluarga dan agama.
~ mencegah daripadaa menggunakan nikmat Allah untuk berbuat
perkara yang mungkar.

2. Lidah yang sentiasa berzikir sama ada masa senang maupun susah.

3. Bersabar apabila ditimpa kesusahan.
~ bersabar apabila diuji dengan kesusahan/kesakitan.
4. Isteri yang tidak menyebabkan suami mendapat dosa.
~ Daripada Anas r.a...Nabi bersabda:
Barang siapa yang dianugerahkan isteri yang solehah maka telah
mendapat sebahagian daripada agama. Yang sebahagian lagi adalah
dengan bertakwa kepada Allah SWT.

~ Daripada Anas r.a... Nabi bersabda:
1.Barang siapa yang berkahwin kerana kecantikan isterinya maka akan
mendapat kehinaan.
2.Barang siapa yang berkahwin kerana kekayaan isterinya, maka akan
mendapat kemiskinan(kehinaan)
3.Sesiapa yang mengahwini perempuan kerana keturunan, maka akan
mendapat kehinaan.
4.Sesiapa yang mengahwini perempuan itu keran untuk menutup pandangan
matanya dan memelihara kemaluanya daripada berzina serta untuk
menghubungkan siliturrahim, maka Nabi SAW berkata Allah SWT akan
memberkatinya demikian juga perempuan itu turut diberkati.

Sifat Pergaulan Nabi Muhammad SAW dengan Isteri-Isterinya.

Siri Kuliah Ustaz Yusaini Yahya : 2/3/11

Kata Saidatina A'isyah:

Baginda Rasulullah apabila bersama isterinya:
~ selalu tergelak, sentiasa tersenyum.
~ Baginda suka melawak, bergurau dengan isteri-isterinya.
~ Nabi sentiasa menuruti kehendak A'isyah.
~ Apabila A'isyah minum satu bekas minuman, baginda minum dan meletakkan bibir pada bekas bibir A'isyah.
~ Apabila A'isyah makan, nasi/kambing, baginda makan lebihan A'isyah.
~ Tiap-tiap kali bertemu, baginda akan mengucup ubun-ubunnya.

Jumaat, Mac 04, 2011

KEWAJIPAN SUAMI

Siri kuliah Ustaz Yusaini Yahya - 03/03/11
Adalah menjadi kewajipan suami ke atas isteri-isteri serta tanggungannya...

1. Mengajarkan isteri-isterinya tentang fardu ain - hukum-hukum Allah SWT.
Yakni mengajar : - al-Quran
- tauhid
- fekah
- tassawuf
2. Memberi galakkan agar isteri-isteri beribadat.
3. Bersabar dengan karenah isteri-isterinya. Suami yang bersabar dengan karenah isteri akan diberiganjaran pahala dan sebaliknya.
4. Menegur isteri-isteri dengan cara yang berhikmah.
5. Berlemah-lembut dalam pergaulan dengan isteri-isterinya.
6. Cemburu yang tidak keterlaluan
7. Menjaga penampilan diri(kemas dan bersih) sebagaimana suami mengkehendaki isteri berhias untuk suami.
8.Redha akan isterinya.

Selasa, Mac 01, 2011

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL TOK GURU NIK ABDUL AZIZ".

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL TOK GURU NIK ABDUL AZIZ".
2:11 PM Suara Merlimau



Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awwal untuk tahun ini. Rabiul Awwal sebagaimana yang kita maklum merupakan bulan di mana umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Sekalipun seringkali saya ulangi, peristiwa kelahiran baginda Rasulullah SAW tidaklah sebesar peristiwa perlantikan baginda sebagai rasul kerana kelahiran adalah peristiwa yang berlaku kepada semua manusia. Namun tidaklah dinafikan bahawa pada bulan inilah umat Islam keseluruhannya memperbaharui kecintaan mereka kepada Rasulullah SAW dengan mengadakan majlis-majlis maulud di sana sini khususnya di negara ini.



Sehubungan dengan itu, sukalah saya mencadangkan agar pengisian Maulidur Rasul pada tahun ini menumpukan kepada isu-isu semasa yang sedang berlaku di sekitar umat Islam pada hari ini. Topik-topik semasa ini perlu diketengahkan memandangkan al-Quran sendiri yang merupakan sumber hokum di dalam Islam diturunkan selama 23 tahun. Tujuan penurunan al-Quran selama 23 tahun ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk menyesuaikan penurunan ayat-ayatnya dengan senario semasa yang sedang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.



Kedua, para penceramah perlulah mengingatkan masyarakat umat Islam bahawa dunia ini milik Allah SWT. Setinggi manapun pangkat yang kita miliki, kita hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Sebagaimana kita menumpang di rumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh Tuan Punya bumi iaitu Allah SWT. Justeru, tidak ada kuasa yang akan kekal selama-lamanya melainkan kuasa Allah. Di Mesir dan Tunisia, kita baru menyaksikan kebangkitan besar-besaran rakyat menentang kuasa rejim yang berkuasa begitu lama menunjukkan bahawa setiap penguasa pasti akan menemui saat di mana kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah SWT.



Ketiga, saya berharap agar ditonjolkan kehebatan Rasulullah SAW sebagai pentadbir negara. Baginda mentadbir negara

Islam Madinah dengan mengutamakan pembersihan kalbu terlebih dahulu. Sebagai seorang ahli politik yang dipandu oleh Allah SWT, baginda tidak meletakkan agenda pembangunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembangunan rohani. Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja bangunan yang didirikan iaitu masjid baginda sendiri. Ini kerana, baginda membangunkan hati dan roh. Lahirlah generasi sahabat yang hebat hasil dari tarbiyyah dan asuhan baginda. Melalui asuhan inilah, manusia mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka. Hakikatnya, pembangunan modal insan yang kini disebut-sebut semula oleh sebahagian daripada kalangan kita telah lama disebut oleh Allah SWT yang bermaksud :



“Bacalah dengan (menyebut) nama tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan qalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit qalbu). Sekali-kali tidak, (penawarnya ialah meyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada tuhanmu. – Surah al-Alaq, ayat 1-7.



Perhatikanlah ayat-ayat di atas yang mengulangi perkataan al-insan yang bermaksud manusia sebanyak tiga kali. Inilah aspek yang perlu diberikan keutamaan pada hari ini. Apabila pembangunan insan dilaksanakan mengikut acuan Islam, tidak akan berlaku lagi budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin. Masyarakat pula khususnya remaja yang terdidik dengan rasa takut terhadap azab Allah SWT akan menjauhi pergaulan bebas, zina, sumbang mahram, buang bayi dan sebagainya. Sekalipun perbuatan-perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah SWT. Inilah kejayaan asuhan Rasulullah SAW dan ini terbukti apabila pernah seorang wanita datang kepada baginda mengaku bahawa dirinya telah berzina serta memohon untuk dihukum hudud dengan segera ekoran ketakutannya menghadapi azab Allah SWT di akhirat kelak. Agenda pembersihan kalbu seperti inilah yang langsung tidak ada di dalam sistem sekular. Sekular yang hanya mengutamakan pembangunan fizikal semata-mata pastinya tidak akan berbicara walaupun sepatah mengenai pembersihan kalbu.



Keempat, perlulah diingatkan bahawa Islam datang selari dengan fitrah manusia. Maulidur Rasul ini perlulah dijadikan satu kesempatan untuk menonjolkan kebaikan Islam kepada non muslim khususnya bukan hanya melalui perarakan besar-besaran sahaja tetapi juga melalui nilai-nilai Islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia. Islam melarang perkara-perkara munkar yang sememangnya tidak diterima oleh fitrah manusia. Mencuri, merompak, berzina, rasuah, pecah amanah, khianat dan semua perkara yang dilarang oleh Islam hakikatnya juga tidak diterima oleh fitrah manusia. Demikianlah juga perkara-perkara makruf yang digalakkan oleh Islam juga pada hakikatnya diakui oleh fitrah manusia sebagai perkara-perkara yang baik.



Akhir kata, saya mengharapkan sambutan Maulidur-rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat untuk semua khususnya di dalam meningkatkan kefahaman kita kepada Islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.



Sekian.



YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 7 Rabiul Awwal 1432 bersamaan 10 Februari 2011