Selasa, Mei 31, 2011

Hukum Perempuan Memakai Seluar Panjang

1~ Menurut Syeikh 'Atiyyah Shaqr'(Mantan Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar Al-Syarif):Pada dasarnya seluar panjang itu lebih kemas menutup aurat lelaki dan perempuan, dan tidak ada aib cela seluar panjang yang dipakai mereka sekarang ini, cuma bagi perempuan pula ia menonjol dan memperlihatkan anggota badan dan punggungnya dengan rupa yang menggiurkan sekalipun tidak berwarna-warni yang menarik perhatian. Kalaulah seluar perempuan itu berwarna-warni tetapi ia meletakkan pula di luarnya kain lain yang menutupi anggota-anggota yang boleh menimbulkan fitnah di samping menghalang bentuk rupanya (dari dilihat dan diketahui orang lain) maka sudah tentu hukumnya tidak mengapa. (Mausuah Al_Usrah M.S.99)

2~ Menurut Syeikh Ismail Usman Zain al-Yamani al-Makki (Ulama Besar Mazhab al-Syafii di Tanah Suci Mekah al-Mukarramah), perempuan yang memakai seluar panjang di atasnya (diluarnya) ada pakaian (baju atau jubah)yang labuh sampai paras lutut lalu seluarnya hanya dilihat oleh orang lain hanya dari paras lutut hingga ke kaki sahaja maka hukumnya tidak haram dengan syarat seluar itu tidak jarang atau ketat sehingga menampakkan kecantikan tubuhnya kerana ia termasuk dalam hadis perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang.Alasannya kerana seluar bukan pakaian yang khusus bagi lelaki. Cuma yang haram bagi perempuan adalah membuka auratnya atau sebahagian auratnya di hadapan lelaki ajnabi.

3~ Menurut Profesor Dr. Wahbah al-Zuhaili(pengarang kitab al-Fiqhul Islami Wa Adillatuh) dalam bukunya Fatawa Mua'sirah M.S 191 ketika ditanya tentang hukum gadis atau perempuan memakai seluar panjang. Ia menjawab hukumnya haram kerana ia sempit(ketat) yang boleh menampakkan bentuk badan, yang boleh menimbulkan fitnah. Begitu juga kerana ianya menyerupai lelaki. Akan tetapi jika ia memakai pakaian-pakaian luarnya (baju atau jubah) dengan syarat pakaian luar itu longgar serta menutupi seluar serta labuh sehingga bawah paras lutut maka hukumnya harus.

Rujukan: Syarat-syarat pakaian muslimah, Oleh Ust.Hj Aminuddin bin Hj Abd. Rahim.
Rumusan:
Daripada penjelasan para ulama di atas, perempuan yang memakai seluar ketat sedangkan bajunya singkat maka hukumnya haram kerana menampakkan punggungnya. Oleh itu labuhkan baju atau jubah hingga ke bawah paras lutut bila memakai seluar.

Tiada ulasan: