Rabu, November 18, 2009

Gejala tulang tergelincir dari sendi

Gejala tulang tergelincir dari sendi

Apa itu SUFE?


"SUFE biasanya berlaku pada kanak-kanak di mana ketika itu tulang mereka sedang pesat membesar. Ia terjadi apabila tulang tergelincir sedikit dari sendi akibat kekurangan pegangan di bahagian rawan. Apabila keadaan itu terjadi cara mereka berjalan akan berubah dan kesakitan akan terasa di bahagian tersebut.

"Penyakit ini lazimnya terjadi pada kanak-kanak lelaki berusia lingkungan 12 hingga 14 tahun manakala kanak-kanak perempuan pula dari usia 10 hingga 12 tahun iaitu ketika tahap tumbesaran mereka sedang pesat berlangsung," jelas Pakar Ortopedik dan Pembedahan Sukan dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Khaizatul Ezam Abu Bakar.

Jelasnya, secara patologi tulang paha kanak-kanak yang menghidapi SUFE tergelincir sama ada ke bahagian dalam atau luar tetapi tidak terkeluar terus dari kedudukan asal.

Mengikut kes yang dilaporkan kebanyakan membabitkan kaki kiri (nisbahnya 2:1) berbanding kaki kanan.

"Dalam kebanyakan kes kami dapati punca sebenar terjadi SUFE memang masih kabur, namun ia masih boleh dikaitkan dengan beberapa faktor seperti kecelaruan hormon endokrin, renal osteodystrophy, pernah menjalani radioterapi, obesiti dan proses tumbesaran yang terlalu pesat," katanya.

Menurut Dr. Khaizatul, ramai ibu bapa tidak menyedari bahawa anak mereka menghadapi penyakit tersebut kerana simptomnya tidak begitu ketara.

"Rawatan untuk SUFE ini perlu cepat sebelum ia menjadi lebih teruk. Tujuan mempercepatkan rawatan supaya ia tidak tergelincir lebih teruk lagi.

"Doktor perlu lakukan pemeriksaan lanjut dan SUFE ini boleh diklasifikasikan kepada beberapa kategori iaitu pragelincir, akut, kronik dan akut serta kronik, semuanya bergantung kepada sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal dan radiografi," jelasnya.

Dr. Khaizatul berkata, sekiranya dibiarkan terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku kepada pesakit SUFE.

Antaranya Avascular Necrosis iaitu kematian sel di mana kerosakan pada salur darah menyebabkan kematian pada sel-sel tulang.

Komplikasi kedua ialah Chondrolysis, ia bermaksud kerosakan, kehancuran dan pecah pada bahagian rawan.

Justeru, rawatan Internal Fixation (pemasangan dalaman) menggunakan alat atau implan adalah perlu untuk penyakit ini.

"Rawatan lebih lambat hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih kronik, sebaiknya jika ada kelainan terhadap cara anak berjalan segeralah lakukan pemeriksaan doktor pakar," ujarnya.


dipetik dari Utusan Malaysia, 18 Nov.2009

2 ulasan:

Imanisa riana @ sarimah berkata...

Salam..
Wow..dah jadi doktor ke bila dok spain.
Doktor bedah arnab! hi..hi..hi.

adilah berkata...

kalau boleh masa cuti ni i semua nak jadi....chef, doktor, peladang...